TUMPAT – “Pada mulanya, saya sangka pencuri sebab bunyi macam orang tarik besi di bawah rumah, rupanya rumah sewa saya terbakar,” luah mangsa kebakaran, Norhashim Alias, 55 di Kampung Pasir Pekan Tengah di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, anaknya, Mohd Ridzuan, 26, yang tidur bersendirian di rumah sewa itu sempat keluar menyelamatkan diri.
Norhashim berkata, dia bersama isterinya, Nor Azizah Mat Nor, 45, tidak sempat menyelamatkan harta benda di dalam rumah sewa berkenaan kerana tinggal di rumah lain bersebelahan rumah yang terbakar itu.
Menurutnya, bunyi yang disangka pencuri tarik besi itu, membuatkan dia tersedar dari tidur dan mengejutkan isterinya untuk melihat apa yang berlaku.
“Pada masa sama, anak kami, Mohd Elias berusia 21 tahun yang tidur di tingkat atas datang mengejutkan saya dan memaklumkan rumah sewa terbakar,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran itu, kata Norhisham, dia kerugian kira-kira RM30,000 termasuk sebuah motosikal, dua mesin jahit, mesin tebu, pam racun, peti sejuk dan komputer hangus.
“Bagaimanapun, kerugian itu tidak termasuk rumah kerana rumah itu adalah rumah sewa, memandangkan rumah saya yang baru diduduki ini tidak siap sepenuhnya, jadi masih ada barangan rumah disimpan di rumah sewa itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Raja Arisan Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.41 pagi.
Menurutnya, seramai 14 anggota dengan tiga jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Balai Bomba Kota Darulnaim dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.
“Api dapat dikawal pada jam 1.19 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 3.24 pagi, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Menurutnya, kediaman itu musnah 100 peratus dan dianggarkan kerugian keseluruhannya bernilai RM70,000.
Dalam pada itu, kejadian yang menimpa Norhashim sekeluarga segera mendapat perhatian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.
Wakilnya, Mohamad Nawawi Adam menyampaikan sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa.
“Saya menyampaikan salam takziah Yang Berhormat (Kamarudin) kepada keluarga Norhashim yang ditimpa musibah.
“Semoga keluarga ini tabah menghadapi ujian daripada ALLAH SWT,” katanya semalam.
