BESUT – Kegembiraan pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan Rabu lalu berakhir dengan tragedi apabila pengantin lelaki maut bersama tiga ahli keluarga lain apabila kereta dinaiki mereka bertembung kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 93 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, dekat Kampung Renek di sini semalam.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pengantin lelaki, Muhammad Norizan Mohd. Noor, 20, ibu mertua mangsa, Rozila Jusoh, 42, serta dua adik iparnya, Norma Mohd. Razaki, 15, dan Fareis Haikal Mohd. Razaki, 2.
Bagaimanapun, isteri Muhammad Norizan iaitu Noraliza Zaki, 18, dilaporkan cedera parah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Besut.
Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, Muhammad Norizan yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan bersama rombongan dari Kampung Hujung Semubal Chetok, Pasir Mas, Kelantan untuk majlis bertandang ke rumahnya di Kampung Chalok, Setiu.
