" Kereta, anak saudara dilarikan lelaki tak dikenali "

KOTA TINGGI - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Myvi yang di parkir dihadapan sebuah pasaraya di Bandar Penawar serta anak saudaranya yang turut berada di dalam kenderaan terbabit dilarikan seorang lelaki semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.00 petang wanita berusi 21 tahun itu dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenali telah membuka pintu kereta di bahagian pemandu sebelum bertindak melarikan kenderaan terbabit.

" Kereta, anak saudara dilarikan lelaki tak dikenali "

Menurutnya, ketika kejadian kenderaan itu diparkir  dalam keadaan enjin hidup sementara wanita tersebut sedang memasukkan barang di dalam bonet.
"Seorang lelaki berbadan kurus memakai cermin mata secara tiba-tiba telah membuka pintu hadapan dan melarikan kereta mangsa bersama anak saudara lelaki berusia empat tahun yang berada di dalam kereta tersebut. 
"Bagaimanapun suspek kemudiannya telah menurunkan dan meninggalkan kanak-kanak itu di simpang petronas Bandar Penawar. 
"Beberapa penunggang motorsikal yang berada berhampiran tempat kejadian turut membantu mengejar suspek selepas mendengar jeritan meminta tolong daripada mangsa. Suspek dikejar sehingga ke kawasan kebun kelapa sawit di Felda Adela namun berjaya melarikan diri di dalam kebun dan menghilangkan diri,"katanya.
Tambahnya, dua penunggang motorsikal turut mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Penawar selepas terjatuh akibat dihimpit oleh suspek semasa mengejar suspek. 
Jelasnya, kenderaan mangsa yang dilarikan juga telah dijumpai di tepi jalan Felda Adela dan telah di bawa ke balai Bandar Penawar untuk tindakan selanjutnya.