ADA yang benar-benar penakut. Ada juga yang sengaja memberanikan diri sedangkan diri sendiri sebenarnya penakut. Bagaimana pula jika ketakutan itu menerbitkan keberanian yang tidak pernah terjangkau dek fikiran yang waras terutamanya apabila tidak tahu apa yang menanti kita pada masa depan?
Itu persoalan yang perlu dikupas penonton menerusi filem The Diabolical yang menjengah pawagam tempatan sejak awal bulan ini.
Pengarah filem berkenaan, Alistair Legrand berkata, idea asal filem berkenaan bermula apabila beliau mahu menghasilkan filem berorientasikan kekeluargaan dan kisah seram serentak.
“Selepas memikirkan perkara itu, saya rasa apa salahnya mengadunkan kedua-dua perkara itu dalam satu filem. Sebenarnya, kisah seram tidak semestikan menakutkan, sebaliknya ia boleh menjadi sebuah kisah inspirasi buat masyarakat.
“Ini filem terpantas pernah saya hasilkan apabila berkesempatan bertemu produser, Ross M. Dinerstein yang berminat menjalin usahasama menerbitkan filem ini, manakala skripnya juga diselesaikan dalam tempoh sebulan saja,” katanya.
Menurut Legrand, pemilihan pelakon juga tidak berdepan sebarang kesulitan apabila berjaya bekerja sama dengan pelakon hebat seperti Ali Carter.
“Saya memang mahu Carter melakonkan watak itu. Dia juga seorang yang baik serta mudah memberikan kerjasama secara profesional. Saya benar-benar sukakannya.
“Kami juga banyak menjalani latihan terlebih dulu sebelum memulakan sesi penggambaran supaya segala-galanya berjalan lancar.

ALI CARTER membawakan watak sebagai Madison dalam filem ini.
“Saya senang bekerjasama dengan pelakon kanak-kanak seperti Chloe Perrin dan Max Rose. Ini kerana, kanak-kanak memiliki imaginasi yang lebih baik berbanding orang dewasa.
“Saya mahu kanak-kanak yang mampu memberikan lakonan bersahaja dan bukan semata-mata berlakon. Itu yang berjaya diberikan Perrin dan Rose,” ceritanya lagi.
Justeru, Legrand mahu penonton menilai dan menyaksikan terlebih dulu The Diabolical sebelum membuat sebarang andaian umum.
“Kami cuba menghasilkan filem hantu yang santai, namun memiliki penjelasan tersendiri.
“Percayalah, apa yang menanti kita pada masa depan sebenarnya lebih menakutkan kerana kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Saya yakin, ia akan kembali menghantui kita pada bila-bila masa,” ujarnya.
The Diabolical mengisahkan Madison (lakonan Ali Carter) bersama anak-anaknya yang diganggu pelbagai kejadian paranormal di rumah mereka.
Apabila menyedari roh tersebut enggan melepaskan mereka sekeluarga, Madison kemudian meminta bantuan teman lelakinya, Nikolai iaitu seorang saintis sebelum memulakan usaha memburu dan menghapuskan roh berkenaan.
Adakah roh yang cukup menakutkan itu mampu ditewaskan? Jangan lupa saksikan The Diabolical di pawagam berdekatan anda.
